Halaman

PENDIDIKAN SAYA


Saya mendapat pendidikan awal di Tadika Kemas Kampung Medan, Petaling Jaya. Selepas itu, saya melanjutkan pendidikan awal saya di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Medan dan Sekolah Rendah Agama Kampung Medan. Saya mendapat keputusan yang baik dalam Bahasa Malaysia di peringkat UPSR. Seteruskan saya melanjutkan pelajaran saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan sehingga ke tingkatan 3 dan saya juga mendapat keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran Sains, Kemahiran Hidup dan Sejarah juga mata pelajaran lain dalam PMR. Seterusnya saya di terima di salah sebuah sekolah aliran teknik di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Menengah Teknik Ampangan, Seremban. Dalam SPM saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran Matematik.

Seterusnya saya menyambung pengajian saya di peringkat Diploma dalam bidang UKur Tanah di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang. Di sini hampir setiap semester saya mendapat Anugerah Dekan. Ini adalah pemangkin saya untuk meneruskan lagi pengajian saya ke tahap yang lebih baik. Saya kemudiannya diterima melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dan saya telah mendapat Anugerah Dekan selama 4 semester daripada 6 semester pengajian saya. Selepas tamat belajar saya telah bekerja dalam bidang Kejuruteraan Geomatik selama 2 tahun dan bekerja sambilan sebagai Jurukur di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia selama 6 bulan. Dalam pada masa itu, saya masih ingin meneruskan pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi dan saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian saya di peringkat Sarjana di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dan sinilah saya berada sekarang.

Walaupun dilihat secara keseluruhannya keputusan pengajian saya di tahap yang boleh dibanggakan namun saya bukanlah seorang yang pandai secara lahiriah. Memang tiada manusia yang dilahirkan terus menjadi bijak pandai. Namun tidak dinafikan sesetengah insan punyai kelebihan lebih cekap dan pantas berfikir. Ini semua adalah anugerah dariNya. Saya amat bersyukur, Alhamdulillah. Saya juga pernah mengalami fasa 'kebodohan' seperti kebanyakan pelajar lain. Saya tidak begitu menonjol dalam keluarga dan saya juga bukanlah pelajar harapan guru-guru di sekolah. Kadang kala saya memang sukar hendak memahami apa yang guru ajarkan di dalam kelas. Apa yang saya boleh buat adalah membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru. Dari situ, mak dan abah saya melihat saya sangat rajin membuat kerja rumah yang dibekalkan oleh guru berbanding adik beradik lain yang pada ketika itu lebih bijak dari saya.

Saya pernah juga menghadiri tuisyen di sekolah dimana bayarannya adalah percuma tetapi saya tidak dapat menumpukan lebih perhatian kerana saya duduk di barisan akhir dalam kelas kerana kepadatan pelajar(60 orang). Saya sangat cemburu akan kawan-kawan lain yang ibu bapa mereka mampu menghantar mereka ke Pusat Tuisyen atau mengupah tutor/cikgu tuisyen datang mengajar di rumah. Atas berkat doa, usaha dan tawakal yang tidak henti-henti saya berjaya di peringkat yang saya duduki kini. Belajar itu adalah satu perkara yang menyeronokkan dalam hidup jika anda cintakannya. Salam Study dari saya Lina BestaryTuisyen.       

1 ulasan:

  1. AS salam..nk tanya... masih lagi mengajar tuisyen utk pelajar UPSR 2014??klaau masih boleh terima pelajar nk hantar anak akak....

    BalasPadam